Saturday, August 7, 2010

Saya hanya wanita biasa


Benar, saya hanya biasa. Tiada daya atau kekuatan dari saya melainkan semuanya dari Dia. saya adalah wanita yang hina lagi daif tanpa pertolongan dan bimbingan Nya. Saya tidak mempunyai apa-apa daya atau kudrat sewaktu saya mula-mula dilahirkan. Saya tiada daya untuk menyuapkan makan sewaktu saya lapar, saya hanya diberi daya untuk menangis saat saya lapar, maka ibu yang kasih akan cahaya matanya menyuakan susu dari badannya kepada saya. Sedangkan susu itu adalah rezeki yang Dia sudah aturkan untuk saya hari itu, Dia yang memberikan saya minum agar hilang rasa lapar saya, susu itu pula diciptakan-Nya dengan berbagai khasiat agar badan saya dapat membesar dengan sihat dan kuat. Hakikatnya Dia lebih menyayangi saya mendahului kasih sayangnya ibu saya kepada saya. Sungguh saya hanya biasa tanpa belas ihsan Dia.
Saya terus meniti hari-hari yang telah diaturkan untuk saya. Saya belajar mengenal ibu dan bapa saya. Saya mula mengenali saudara-saudara lelaki dan perempuan saya. Mereka begitu mengasihi saya. Saya adalah buah hati mereka yang terakhir maka saya dijaga, dibelai dan ditatang sehingga saya tidak rasa kekurangan dalam kasih sayang mereka. Biarpun saya masih tidak mengerti apa-apa saat itu. Sungguh, saya hanya biasa tanpa kehadiran kedua orang tua dan saudara-saudara saya menemani saya saat saya mula mengenali dunia. Hakikatnya, Dia yang menciptakan saya dan meletakkan saya di kalangan saudara-saudara yang saya cintai, yang juga mencintai saya dan hakikatnya Dia telah lebih dulu mencintai saya. Saya hanya biasa tanpa cinta Dia.
Zaman sejarah kanak-kanak saya amat indah untuk dikenang. Bila ditanya, kehidupan mana yang paling saya sukai dan kenangkan, sudah tentu kehidupan zaman kanak-kanak saya. Kenapa?? Saya dilahirkan dalam suasana yang tenang dengan kehijauan pohon-pohon, dan kesejukan air sungai yang luas  lagi menyejukkan hati yang memandang. Udara yang saya sedut hari-hari sudah terjamin kesegarannya, yang membantu perkembangan minda saya agar sihat dan bersih. Bahagia rasanya hidup dalam kehidupan yang serba indah itu dalam keadaan yang masih tidak menanggung dosa. Jika keindahan itu sudah terasa seperti di syurga dunia.. apatah lagi syurga sebenar yang kekal abadi yang Dia telah sediakan berbagai nikmat yang tidak terduga oleh saya.Syurga itu lebih indah yang didalamnya mengalir sungai-sungai yang lebih putih dari susu dan rasa lebih lazat dari khamar. Subhanallah. Hakikatnya, Dia yang mengatur setiap rezeki dan nikmat-Nya kepada saya. Saya hanya biasa tanpa Rahmat dan Nikmat-Nya.
Saya diberikan nikmat akal dan ilmu. Saya menggunakan kedua-dua nikmat itu untuk merintis kejayaan demi kejayaan di atas kertas dunia. Sungguh saya hanya biasa tanpa ilmu dan nikmat akal yang Dia kurniakan pada saya. Saya bersyukur pada-Nya, dengan kehidupan yang serba sederhana, saya dianugerahkan nikmat ilmu dan dengan ilmu itu saya diizinkan-Nya untuk menjejakkan kaki ke menara gading sehingga saya berjaya memegang segulung ijazah. Alhamdulillah, hakikatnya saya hanya biasa tanpa nikmat ilmu dan akal dari Dia.
Saya harungi hidup dengan pelbagai pengisian yang Dia telah aturkan untuk saya. Tiada satu pun yang saya lalui tanpanya Dia mengawasi. Saya sedar itu semua, namun apabila diri semakin meningkat remaja, disogok dengan keadaan yang serba-serbi dunia. Maka saya mula ingin mengenali dunia itu. Sungguh dunia itu apabila dipandang dengan pandangan hawa nafsu segalanya tampak indah. Sedikit sekali hati menolak keindahan yang ditawarkan dunia.
Ceteknya ilmu dan bekal di hati sehingga saya mula tenggelam dalam kemabukan dunia. Saya berlumba-lumba mengisi hari saya dengan kenikmatan dunia. Orang berfesyen, maka saya juga turut ingin berfesyen. Takut dikatakan ketinggalan zaman. Orang bercouple, maka saya pun turut ingin bercouple. Apabila ada si teruna yang meluahkan cinta, saya menerimanya. Mula mengenali, lama-kelamaan makin sayang. Terasa ingin hidup semati. Pertama kali merasakan cinta monyet. Ungakapan cinta mula bermain di bibir “Wahai teruna, dikaulah buah hati pengarang jantung ku, akan ku setia padamu. Tiada yang lain yang kucinta selain dikau.” Sungguh romantis kata-kata cinta yang dibisikkan si iblis laknatullah.
Namun masa itu telah pun berlalu, andai masa itu bisa di putar ingin saya tukarkan kata-kata cinta itu kepada Kekasih saya yang Maha Agung. Andai saat itu, saya tukar kata-kata itu kepada Dia, bagaimana agaknya hati ini merasa debarannya. Adakah cinta pada Dia itu lebih hebat atau cinta dia yang hebat. “Wahai Tuhanku, Engkau lah Tuhan ku, hanya Engkau Tuhan yang ku sembah, Engkaulah Tuhan Yang Esa, tiada sekutu bagiMu”. Ya Allah, saya telah benar-benar menzalimi diri saya sendiri. Betapa dangkalnya ilmu saya, betapa jahilnya saya dengan cinta, betapa rapuhnya benteng iman saya. Saya telah mengotori hati saya, tempat jatuhnya pandangan Dia dengan kecintaan pada manusia. Saya meletakkan cinta manusia itu melebihi cinta saya pada yang Haq. Benar-benar saya wanita yang amat rugi kerana membenarkan hati saya dikotori dan dinodai oleh cinta palsu. Sungguh saya hanya wanita biasa, yang jahil tanpa petunjuk dan taufiq dari Dia.
Dia mendidik saya dengan pelbagai ujian agar saya menjadi hamba yang teguh iman dan peribadi. Dia Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya yang sering lengah dan lalai. Dengan itu saya diuji dan diuji untuk menyedarkan saya. Saya mengalir airmata apabila sesuatu yang saya sayang diambil, sesuatu yang saya sayang diserahkan kepada orang lain, sesuatu yang saya sayang tidak membalas seperti mana yang saya impikan. Beratnya sesuatu ujian itu hanya Dia yang Maha Mengetahui keadaan saya. Dan ujian itu didatangkan sesuai dengan keupayaan hamba-Nya.
Saya mula memikirkan kenapa ujian yang saya lalui itu tetap sama cuma didatangkan dalam keadaan yang berbeza. Sama bagi saya kerana bahan atau watak dalam ujian itu adalah ‘lelaki’. Seseorang pernah berkata kepada saya “mungkin Dia datangkan ujian itu berkali-kali kerana saya masih tidak lulus dalam ujian sebelumnya” dalam erti kata, pokok asal ujian itu ialah “lelaki”. Benarlah, setiap apa yang Dia kurniakan adalah pinjaman, Dia akan berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menarik kembali daripada sesiapa yang Dia kehendaki jika hamba-Nya tidak bersyukur. Bersyukur disini, bukan hanya sekadar mengucapkan ‘Alhamdulillah’ tetapi ke arah mana nikmat itu digunakan. Jika hamba menggunakan semata-mata mendapatkan redha-Nya, maka ditambahi lagi nikmat itu kepada hamba-Nya yang bersyukur. Sungguh saya hanya wanita biasa tanpa didikan dan ujian dari-Nya.
Alhamdulillah, Dia masih lagi memberi tangguh kepada saya hingga usia saya kini sudah mencecah 26 tahun. Bermakna sudah 26 tahun saya menggunakan masa yang diamanahkan kepada saya. Apakah 26 tahun masa saya itu dikira di sisi-Nya?? Berapa banyakkah amalan-amalan saya selama 26 tahun ini?? Berapa berat timbangan dosa-dosa saya yang tidak di mohon ampun dengan sebenar-benar taubat?? Apakah dosa-dosa saya yang lalu sudah diampuni oleh-Nya?? Beratnya beban malu yang ditanggung jika dosa-dosa itu diperlihatkan oleh-Nya satu persatu saat saya melakukan dosa. Namun, Dia Maha Mengasihani, dosa-dosa saya disembunyikan pada zahirnya agar saya memikirkan betapa Dia memelihara saya dari aib dipertontonkan dosa itu di dunia ini. Agar saya kembali kepada-Nya kerana Dia telah menjanjikan Keampunan dan Kasih Sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang kembali dan bertaubat dari dosa-dosa yang dilakukan. Sungguh saya hanya wanita biasa tanpa Keampunan dan Kasih Sayang Dia.
Kini, dengan Kasih-Sayang Nya saya mula mengerti akan hakikat kehidupan yang sebenar-benarnya. Saya berharap agar saya ditemani oleh teman-teman yang seiring sejalan yang saling ingat-mengingati, pesan berpesan agar saya tidak lengah dan lalai dari hakikat kehidupan yang sebenarnya. InsyaAllah, saya berharap agar saya dikurniakan teman penyejuk hati yang mencintai saya kerana mencintai Dia, yang bertaqwa kepada-Nya dan yang tertaut hatinya kepada Dia. Agar saya bisa di didik olehnya sebagaimana Rasulullah s.a.w mendidik Saidatina A’isyah ra. Agar anak-anak saya diberi didikan langsung dan tarbiyah oleh bapanya. Dan saya hanya ingin berbakti kepada dia, taat dan patuh kepadanya agar saya sentiasa mendapat redhanya dan juga redhaNya. Dengan keredhaannya hidup seorang isteri akan sempurna dan dengan keredhaanNya hidup seorang hamba sempurna.Saya ingin mencintainya setulus hati saya dan berharap agar dia menjadi nakhoda yang dengan izin Allah S.W.T mampu memimpin anak-anak nakhodanya ke arah jalan yang lurus. Yang akhirnya pasti menuju kepada Allah S.W.T. Saya ingin bersamanya di sini dan di sana. InsyaAllah.
Wahai penyejuk hatiku, janganlah kau tinggalkan aku dibelakangmu, bawalah aku bersama mu. Saya hanya wanita biasa yang inginkan lelaki yang seperti kamu. Biarlah biasa itu pada pandangan manusia, jangan pada pandangan Allah S.W.T.
Ya Allah, teguhkanlah dua hati ini dengan ketaqwaan kepadaMu. Amin.

No comments:

Post a Comment